GTranslate

AKADEMIK DAN APEL

AKREDITASI PEMBELAJARAN BERASASKAN PENGALAMAN TERDAHULU (ACCREDITATION OF PRIOR EXPERIENTIAL LEARNING - APEL)?

APEL didefinisikan sebagai satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. Oleh itu secara umumnya, proses APEL melibatkan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman. Pembelajaran ini boleh diperoleh melalui pelbagai kaedah termasuk persekolahan yang formal, pengalaman hidup dan pekerjaan, latihan, pengajian bebas, kerja sukarela, hobi dan lain-lain.

Antara contoh-contoh pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu termasuk ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperoleh melalui:

  1. pengalaman kerja: sepenuh masa, separuh masa ataupun sambilan;
  2. kerja sukarela dan kemasyarakatan;
  3. tanggungjawab keluarga;
  4. hobi atau kegiatan waktu lapang;
  5. melatih dan membimbing orang lain;
  6. menghadiri dan menyertai seminar, persidangan dan bengkel;
  7. menghadiri kursus jangka pendek;
  8. kefasihan dalam bahasa-bahasa lain;
  9. pengajian persendirian dan penyelidikan; dan sebarang pengalaman hidup yang lain.

APEL diwujudkan bagi menyediakan jalan kemasukan 'alternatif' kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan formal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ia menggalakkan seseorang individu untuk meningkatkan pengetahuan secara berterusan yang membawa kepada sesuatu sijil kelayakan. Ini selanjutnya akan memberi peluang kepada individu untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Permohonan penilaian APEL hendaklah dibuat oleh individu (learners). 

Jika anda berminat untuk memasuki program peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi APEL anda haruslah :  

  1. Warganegara Malaysia;
  2. Melepasi syarat kelayakan asas yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi iaitu berumur 21 tahun ke atas pada tahun permohonan dibuat; dan
  3. Lulus dalam penilaian yang akan dijalankan oleh MQA iaitu menerusi penilaian Portfolio dan Aptitude Test

Dokumen permohonan perlu dihantar bersama-sama draf bank ke:

Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti,
Agensi Kelayakan Malaysia,
13A, Menara PKNS-PJ,
No. 17, Jalan Yong Shook Lin,
46050 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.